Saturday, 31 March 2012

Wahai Ibu Bapa berilah nama yang baik-baik bagi anak-anak anda!





     Apabila lahir seorang anak, penghormatan pertama yang diberikan kepadanya ialah menghiasinya dengan nama yang baik. Nama yang baik akan benar terpahat di dalam jiwa sejak pertama kali mendengarnya! Allah s.w.t mewajibkan kita agar memanggil-Nya dengan nama-nama-Nya yang mulia. Jadi menjadi hak anak untuk mendapat nama yang baik-baik.
     
    Rasulullah s.a.w telah memilih nama-nama yang baik untuk para putera baginda. Imam Muslim, Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda nama yang paling disukai Allah s.w.t ialah Abdullah dan Abdul Rahman.

     Ada beberapa nama yang dimakruhkan oleh Rasulullah s.a.w di antaranya Yasar, Rabah, Nijah dan Aflah. 

    Menjadi tanggungjawab ibu bapa memberi nama-nama yang mempunyai makna yang baik untuk anak-anak. Jadi ibu bapa haruslah mengkaji dahulu nama-nama yang mereka mahu berikan kepada anak-anak.  


     





   



sumber: Buku 'Didiklah anak cara Rasulullah s.a.w' karya Muhammad Nur Abdullah Hafiz Suaid.


Susu ibu adalah susu terbaik!!






















Semua orang tahu bukan susu ibu adalah susu terbaik bagi bayi. Susu ibu mengandungi semua nutrien yang diperlukan bagi bayi. Bayi juga mudah menghadam susu ibu berbanding susu lain.


Selain itu, susu ibu baik untuk antibodi bayi dan melindungi mereka daripada jangkitan penyakit.


Kebaikan untuk si ibu pula, menyusukan bayi anda akan mempercepatkan pembakaran kalori di dalam badan. 


Jadi para ibu perlu berusaha memberi susu ibu kepada anak-anak anda! Setiap tegukan dari susu ibu, Allah s.w.t memberi pahala satu kebaikan. Apabila, ibu semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t akan memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan Allah s.w.t.







Thursday, 29 March 2012

Lagi berita menyayat hati!



Janin tanpa kepala ditemui


Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2012/03/30

Disyaki dipam dalam mangkuk tandas

KUALA LUMPUR: Satu janin tidak berkepala ditemui pekerja Indah Water Konsortium (IWK) di dalam loji kumbahan air di Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, Jinjang Utara di sini, tengah hari semalam.



Janin belum cukup sifat dianggarkan berusia empat hingga lima bulan ditemui tersangkut di perangkap sampah pada jam 12.30 tengah hari, ketika pekerja terbabit sedang menjalankan kerja pembersihan di loji berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.


Hasil pemeriksaan yang dijalankan Unit Forensik Polis mengesahkan janin sebesar tapak tangan itu dipercayai digugurkan dalam tempoh kurang 48 jam.

Polis mengesyaki janin itu dibuang ke dalam mangkuk tandas sebelum dipam dari rumah berhampiran loji berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang mengesahkan kejadian itu memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan, namun beliau menolak kemungkinan janin dibuang oleh pihak yang menceroboh ke kawasan loji IWK.

“Siasatan kita mendapati pintu pagar loji kumbahan air ini sentiasa berkunci dalam keadaan rapi serta tidak mungkin wujud unsur pencerobohan, namun ada kemungkinan janin dipam melalui tandas rumah sebelum aliran air membawanya ke kawasan loji berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan dan siasatan secara menyeluruh terhadap penduduk di PPR terbabit bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab membuang janin itu.

Janin itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Zakaria meminta saksi dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penemuan janin itu supaya menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 atau ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Berita: Buang bayi pekerja kutip sampah dicari


Buang Bayi: Pekerja Kutip Sampah Dicari



KUALA TERENGGANU — Polis sedang mengesan pemandu lori dan beberapa pekerja mengutip sampah bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang bayi di tapak pembuangan sampah di Kampung Mak Chili, Cukai, Kemaman Selasa lepas.
“Bayi berkenaan dipercayai dibawa oleh lori sampah Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang terakhir membuang sampah di kawasan tersebut sekitar pukul 3 petang dan kami masih gagal menemui petunjuk berkaitan kes berkenaan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K. Manoharan kepada pemberita hari ini.
Pihak polis percaya sampah beserta mayat bayi lelaki itu dipungut di sekitar Cukai.
Beliau berkata, bayi itu diperayai meninggal dunia ketika dilahirkan dalam tempoh 12 jam sebelun mayatnya ditemui oleh pekerja ketika menjalankan proses pembersihan di tempat pembuangan sampah tersebut.— BERNAMA

Wednesday, 28 March 2012



Al Qur'an merungkai cara mengesan penipuan!







kesan uji kaji terhadap otak



     Sangat luar biasa. Itu sahaja yang dapat saya katakan selepas mengetahui perkara ini. Siapa sangka pada waktu seribu empat ratus tahun yang lalu tanpa teknologi canggih, Al-Quran telah membongkar cara bagaimana mengesan penipuan melalui ayat yang sangat pendek tapi memberi makna yang sangat jelas.

    Sebelum dipaparkan apakah ayat tersebut, ingin saya kongsikan bersama anda tentang suatu kaedah yang digunakan pada masa kini untuk mengesan pembohongan. Kaedah tersebut menggunakan pengimejan ke atas otak melalui getaran magnetic atau lebih dikenali sebagai FMRI. Kaedah tersebut dapat mengesan gerak balas yang berlaku ketika otak sedang melakukan penipuan. Bukan itu sahaja, melalui kaedah ini alat mengesan pembohongan dapat diwujudkan. Terdapat banyak kawasan unik dalam otak yang terlibat dalam penipuan dan percakapan benar yang boleh dikesan melalui kaedah FMRI.

     Fakta mengesahkan, di dalam otak seorang yang sedang melakukan pembohongan terdapat tujuh kawasan yang aktif tetapi dalam otak orang yang bercakap benar, terdapat hanya 4 kawasan yang aktif.


     Mengapa hal ini berlaku?. Bagi melakukan pembohongan, otak perlu berusaha lebih keras lagi bagi mengaktifkan kawasan-kawasan yang bergerak balas dalam otak untuk menjana idea-idea dusta berbanding dengan bercakap benar. Ketika proses pendustaan sedang berlaku, bahagian hadapan otak yang mana terletaknya kawasan ubun-ubun akan bertindak balas yang melalui bahagian medial inferior, pre-central area, hippocampus, temporal tengah dan juga kawasan limbic. Begitu juga ketika bercakap benar, terdapat juga aktiviti di bahagian otak hadapan iaitu temporal lobe dan cigulate gyrus.
    Sekarang saya kongsikan keajaiban Al-quran bersama anda. Kajian demi kajian dilakukan dengan susah payah sedangkan dalam Al-Quran telah membuktikan penemuan yang baru dijumpai ini.
Ketahuilah, sesungguhnya jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) Nescaya Kami tarik ubun-ubunnya (iaitu)ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka. (Al-Alaq ayat 15-16)
   Sebelum kami mengulas dengan lebih lanjut tentang ayat di atas, kami mohon saudara sudari pembaca mengambil kitab tafsir Al-quran dan rujuk pada ayat yang kami paparkan di atas.
    Jika saudara melihat ayat tersebut, perkataan (Nasiya) bermaksud ubun-ubun. Menurut kitab tafsir Ibn Kathir (ubun-ubun yang berdusta) yang dipaparkan dalam ayat tersebut bermaksud, ubun-ubun Abu Jahal menipu dalam percakapan dan perbuatan. Dalam konteks otak, bahagian yang dinamakan sebagai frontel lobe adalah ubun-ubun. Melalui ubun-ubunlah, suatu kebenaran atau pembohongan dapat dikenalpasti.
   Subhanallah, apa lagi yang boleh kita katakan selain Al-Quran sememangnya diturunkan sebagai panduan kepada seluruh Umat manusia. Berimanlah dengannya dengan sebenar-benar Iman.
  



Tuesday, 27 March 2012

ASSALAMUALAIKUM


Kenapa kanak-kanak berbohong?



     Berdasarkan artikel yang telah saya baca mengenai "Kenapa anak-anak berbohong?", didapati bahawa kanak-kanak berbohong untuk menyelamatkan diri daripada dihukum atas sesuatu perbuatan mereka. Mereka belajar berbohong daripada persekitaran mereka. Sosialisasi yang tidak seimbang akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan meniru tingkahlaku berbohong. Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan pengamatan di persekitaran mereka. Orang di sekeliling menjadi model bagi kanak-kanak. Terutamanya ibu bapa, adik beradik dan rakan sebaya mereka. Tingkahlaku berbohong juga akan diteguhkan lagi apabila seseorang itu mencapai tujuannya dengan cara berbohong.


    Kanak-kanak juga berbohong bagi mendapatkan perhatian daripada orang dewasa.Tingkahlaku ini juga tanda bahawa kanak-kanak memerlukan perhatian lebih dan aktiviti yang melebihi jangka masa yang diberikan. Kita perlu bijak dalam menggunakan strategi jangka panjang yang berkesan bagi membina kebiasaan untuk kanak-kanak meningkatkan rasa selamat.  




  Menurut Dr. Chiam Heng Keng, seorang pensyarah psikologi pendidikan dari Fakuiti Pendidikan Universiti Malaya, semua tingkah laku adalah diperolehi semasa kanak-kanak dan ia akan berkembang sempurna sehingga dewasa. Maka berbohong juga merupakan satu daripada tingkahlaku yang didapati semasa kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak selalu berbohong, tingkahlaku berbohongnya akan menjadi satu kebiasaan dan apabila dewasa dia akan membawa bersama-sama tingkahlaku itu.



     Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memupuk kesedaran diri kanak-kanak dalam membezakan perkara yang betul dan salah. Apabila kanak-kanak berbohong, Ibu bapa tidak boleh melabelkan kanak-kanak itu sebagai pembohong. Jika tidak mereka akan sukar untuk berkongsi cerita dengan orang dewasa. Ibu bapa perlu mendengar penjelasan kanak-kanak terlebih dahulu.  

Sunday, 25 March 2012


ASSALAMUALAIKUM
Malu
    
   Semua orang pernah mengalami perasaan malu bukan? Terdapat sesetengah kanak-kanak yang mengalami perasaan malu yang keterlaluan berbanding kanak-kanak lain. Contohnya, ada kanak-kanak yang terlalu malu sehingga tidak sanggup memasuki ke alam persekolahan dan tidak mahu bersosial dengan kanak-kanak yang lain walaupun mereka sebaya. Walaupun hal ini nampak ringan, namun perkara ini perlu diteliti untuk melahirkan kanak-kanak yang seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani, intelek dan sosialnya.

Tanda-tanda malu

    Banyak tanda-tanda yang dapat kita lihat apabila seseorang kanak-kanak itu pemalu. Antaranya, menurut 1zard & Hyson (1986), perasaan malu dapat dikesan melalui perubahan fizikal dan tingkahlaku seseorang. Hal ini dapat dilihat pada seseorang kanak-kanak yang malu apabila mereka bercakap dengan sangat perlahan dan teragak-agak. Selain itu, kanak-kanak kecil yang pemalu akan menunjukkan perlakuan menggigit jari, mengelak daripada senyum dan menarik diri mereka terlebih dahulu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti. 


    Menurut Jakson (1999), kanak-kanak yang malu akan merasa segan dengan semua orang, rasa tidak selamat dan sentiasa mempunyai perasaan rendah diri terhadap kebolehan mereka. Kanak-kanak yang pemalu gagal menunjukkan ‘eye contact’ semasa guru atau rakan menanyakan sesuatu kepada mereka. Mereka akan melarikan anak mata mereka apabila orang dewasa cuba untuk bertentang mata dengan mereka. Mereka juga enggan bercakap dan tidak mahu memberi sebarang respon terhadap soalan yang diberikan. 


   Seterusnya, kanak-kanak yang pemalu juga akan berpeluh dengan berlebihan, muka mereka menjadi merah padam,bibir kering, denyutan jantung dan nadi menjadi pantas. 


     Faktor kanak-kanak malu yang dapat saya lihat adalah disebabkan oleh faktor persekitaran. Contohnya ibu bapa yang terlalu mengongkong kanak-kanak. Mereka menjadi kurang yakin kepada diri dan menjadi pemalu. Ibu bapa yang selalu mengkritik kanak-kanak juga menyebabkan kanak-kanak menjadi pemalu. 
     
        Keluarga yang sering berpindah-randah juga akan menyebabkan anak-anak menjadi pemalu. Kanak-kanak sukar untuk menerima situasi baru di tempat baru. Mereka perlu mencari kawan baru dan perlu menyesuaikan diri dengan tempat baru. Jika kanak-kanak gagal untuk menempuhnya, mereka akan menjadi seorang yang sangat pemalu.


Kesan malu berlebihan


     Kanak-kanak yang terlalu malu ini mempunyai sedikit atau tiada kawan dan kadang kala kanak-kanak ini dibuli oleh rakan-rakan mereka. Kemahiran sosial mereka kurang dan mereka menjadi pasif. Mereka mendapat pencapaian yang rendah. Sekiranya hal ini berlarutan sehingga dewasa, mereka akan kurang berjaya berbanding orang lain.


Malu sebahagian daripada Iman


Dalam Riwayat Al Bukhari daripada Abi Mas'ud Uqbah bin 'Amr Al Anshari Al Badri r.a berkata Rasulallah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya sebahagian dariapda apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah : Jika Engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu".


    Maksud yang paling ringkas dan mudah difahami berkenaan ayat ini adalah malu biarlah bertempat. Pengajaran yang dapat kita peroleh daripada hadis di atas adalah malu merupakan landasan akhlak mulia. 


   Saya berpendapat bahawa Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan seimbang. Persekitaran memainkan peranan penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya tidak boleh melabelkan anak mereka sebagai pemalu. Malahan, memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka apabila mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Ibu bapa juga menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak apabila berinteraksi dengan orang lain. Akhir sekali, kanak-kanak perlu diberi pendedahan dalam mengembangkan lagi kemahiran sosial mereka dengan baik.


Malu itu membentuk iman,
Hilang malu bagai tidak siuman,
Terlebih malu merugikan,
Malu bertempat mencipta pedoman.

Tuesday, 20 March 2012

SELAMAT DATANG: BAS ILMU


ASSALAMUALAIKUM
SELAMAT DATANG KE BLOG PENULISAN REFLEKSI PROGRAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK.

Mari mengenal kanak-kanak 
 



     Kanak-kanak adalah anugerah daripada Allah s.w.t yang sangat bermakna. Kanak-kanak ibarat kain putih dan ibu bapa yang berperanan mencorakkan personaliti dan akhlak kanak-kanak. Secara umumnya, kanak-kanak berkembang dari satu tahap ke tahap yang lain. Kadar kemampuan, kecekapan dan kecepatan perkembangan setiap kanak-kanak juga berbeza walaupun kanak-kanak berada pada tahap yang sama.


 

     Mereka juga mempunyai minat, keperluan dan motivasi yang berbeza. Kanak-kanak memerlukan kemahiran sebenar iaitu belajar berinteraksi denngan benda-benda konkrit kepada yang abstrak. Mereka belajar melalui bermain dan meneroka melalui 5 deria iaitu deria melihat, merasa, mendengar, menyentuh dan menghidu. Kanak-kanak sangat suka meneroka perkara baru dan mereka mempunyai daya ingin tahu yang sangat tinggi. Kanak-kanak sangat bertenaga dan aktif. 


 


     Kanak-kanak suka kepada warna-warna yang terang dan suka kepada pujian. Mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada orang sekeliling mereka. Kesimpulannya anak adalah amanah dan ujian dari Allah s.w.t. Demikian itu, jagalah sebaik mungkin amanah yang telah diberi kepada kita.  


Dari Aisyah r.a katanya: "Seseorang wanita datang kepadaku membawa dua orang anaknya, meminta makanan. Tetapi tiada apa yang boleh didapatinya daripadaku ketika itu selain daripada sebiji kurma. Lalu kuberikan kepadanya. Kurma itu dibahagi dua dan diberikan kepada kedua anaknya itu. Ia sendiri tidak memakannya. Kemudian ia berdiri dan terus pergi. Setelah Nabi s.a.w datang, aku ceritakan hal itu kepada baginda." Sabda baginda s.a.w, "Sesiapa mendapat cubaan kerana beberapa anak daripadanya, maka semuanya itu akan menjadi dinding baginya daripada api neraka."


(Riwayat Bukhari)