Sunday 25 March 2012


ASSALAMUALAIKUM
Malu
    
   Semua orang pernah mengalami perasaan malu bukan? Terdapat sesetengah kanak-kanak yang mengalami perasaan malu yang keterlaluan berbanding kanak-kanak lain. Contohnya, ada kanak-kanak yang terlalu malu sehingga tidak sanggup memasuki ke alam persekolahan dan tidak mahu bersosial dengan kanak-kanak yang lain walaupun mereka sebaya. Walaupun hal ini nampak ringan, namun perkara ini perlu diteliti untuk melahirkan kanak-kanak yang seimbang dari segi emosi, rohani, jasmani, intelek dan sosialnya.

Tanda-tanda malu

    Banyak tanda-tanda yang dapat kita lihat apabila seseorang kanak-kanak itu pemalu. Antaranya, menurut 1zard & Hyson (1986), perasaan malu dapat dikesan melalui perubahan fizikal dan tingkahlaku seseorang. Hal ini dapat dilihat pada seseorang kanak-kanak yang malu apabila mereka bercakap dengan sangat perlahan dan teragak-agak. Selain itu, kanak-kanak kecil yang pemalu akan menunjukkan perlakuan menggigit jari, mengelak daripada senyum dan menarik diri mereka terlebih dahulu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti. 


    Menurut Jakson (1999), kanak-kanak yang malu akan merasa segan dengan semua orang, rasa tidak selamat dan sentiasa mempunyai perasaan rendah diri terhadap kebolehan mereka. Kanak-kanak yang pemalu gagal menunjukkan ‘eye contact’ semasa guru atau rakan menanyakan sesuatu kepada mereka. Mereka akan melarikan anak mata mereka apabila orang dewasa cuba untuk bertentang mata dengan mereka. Mereka juga enggan bercakap dan tidak mahu memberi sebarang respon terhadap soalan yang diberikan. 


   Seterusnya, kanak-kanak yang pemalu juga akan berpeluh dengan berlebihan, muka mereka menjadi merah padam,bibir kering, denyutan jantung dan nadi menjadi pantas. 


     Faktor kanak-kanak malu yang dapat saya lihat adalah disebabkan oleh faktor persekitaran. Contohnya ibu bapa yang terlalu mengongkong kanak-kanak. Mereka menjadi kurang yakin kepada diri dan menjadi pemalu. Ibu bapa yang selalu mengkritik kanak-kanak juga menyebabkan kanak-kanak menjadi pemalu. 
     
        Keluarga yang sering berpindah-randah juga akan menyebabkan anak-anak menjadi pemalu. Kanak-kanak sukar untuk menerima situasi baru di tempat baru. Mereka perlu mencari kawan baru dan perlu menyesuaikan diri dengan tempat baru. Jika kanak-kanak gagal untuk menempuhnya, mereka akan menjadi seorang yang sangat pemalu.


Kesan malu berlebihan


     Kanak-kanak yang terlalu malu ini mempunyai sedikit atau tiada kawan dan kadang kala kanak-kanak ini dibuli oleh rakan-rakan mereka. Kemahiran sosial mereka kurang dan mereka menjadi pasif. Mereka mendapat pencapaian yang rendah. Sekiranya hal ini berlarutan sehingga dewasa, mereka akan kurang berjaya berbanding orang lain.


Malu sebahagian daripada Iman


Dalam Riwayat Al Bukhari daripada Abi Mas'ud Uqbah bin 'Amr Al Anshari Al Badri r.a berkata Rasulallah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya sebahagian dariapda apa yang telah dikenali orang daripada ungkapan kenabian yang pertama adalah : Jika Engkau tidak malu, berbuatlah sekehendakmu".


    Maksud yang paling ringkas dan mudah difahami berkenaan ayat ini adalah malu biarlah bertempat. Pengajaran yang dapat kita peroleh daripada hadis di atas adalah malu merupakan landasan akhlak mulia. 


   Saya berpendapat bahawa Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan kanak-kanak membesar dengan seimbang. Persekitaran memainkan peranan penting dalam tumbesaran kanak-kanak. Ibu bapa seharusnya tidak boleh melabelkan anak mereka sebagai pemalu. Malahan, memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka apabila mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Ibu bapa juga menjadi contoh yang baik kepada kanak-kanak apabila berinteraksi dengan orang lain. Akhir sekali, kanak-kanak perlu diberi pendedahan dalam mengembangkan lagi kemahiran sosial mereka dengan baik.


Malu itu membentuk iman,
Hilang malu bagai tidak siuman,
Terlebih malu merugikan,
Malu bertempat mencipta pedoman.

No comments: